Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
Subhanallah, hampir dua minggu saya ambil masa untuk tulis entri ni.
Sebenarnya dah empat kali saya cuba habiskan. Tapi setiap kali mesti
berhenti separuh jalan sebab tak mampu nak tahan airmata. Teramat berat
sebenarnya untuk saya imbas kembali apa yang terjadi pada hari Armand
pergi. Walaupun sampai sekarang ini pun, masih terasa-rasa lagi sebak
dan pilunya bila terkenang. Semuanya masih fresh dalam fikiran. Macam
ada wayang di selaput mata yang menayangkan semula setiap babak yang
saya lalui. Babak realiti yang selama ini saya hanya lihat dalam
drama-drama di tv.
Lagi dua hari, cukuplah 3 minggu saya terpisah dari anak kandung yang
amat dicintai. Berkat doa ramai orang, dan dengan rahmat Allah, kami
semua semakin pulih dari kesedihan. Alhamdulillah, syukur pada Allah.
Airmata yang mengalir kadangkala hanyalah airmata dari hati yang sangat
merindukan anak syurga itu. Setiap masa saya rindu sangat. Tapi tak
dapat nak menzahirkan rindu itu dengan mencium dan memeluk Armand. Hanya
dapat berdoa dan mengadu pada Allah sambil menangis. Selama ini saya
fikir saya dah melalui fasa rindu yang paling dahsyat dan menguji,
sewaktu saya dan suami terpisah selama setahun setengah. Saya di
Perancis menghabiskan studi, dan suami di Malaysia mencari rezeki.
Rupanya saya silap. Rindu pada Armand ini jauh lebih menduga kerana
takkan ada lagi pertemuan di dunia. Masya Allah, memang besar sangat
kesabaran yang saya perlu bekalkan dalam hati untuk teruskan kehidupan.
Kadang-kadang rasa payah sangat. Tapi mungkin itulah salah satu daripada
harga syurga yang saya inginkan.
Sekarang ini, untuk kuatkan diri, saya hanya teruskan hidup dengan
pandang ke hadapan. Pandang ke depan dengan membayangkan pertemuan
seterusnya antara saya dan Armand. Sesekali bila menoleh ke belakang,
teringat saat mengandung dan melahirkan Armand, demi Allah, sangat
mengusik perasaan. Bukan mudah sebenarnya, sebab saya memang suka
mengingati kenangan. Setiap saat yang terakam dalam memori memang
memberi saya kekuatan dan semangat untuk teruskan langkah kehidupan.
Sampaikan dulu waktu zaman sekolah menengah, ada seorang kawan gelarkan
saya 'insan yang hidup dalam kenangan'.
Tapi kelahiran dan pemergian Armand betul-betul mengubah semuanya. Saya
kini semakin sedar, hidup ini bukan hanya di dunia. Malah sekejap sangat
di dunia. Kalau biarkan diri cling pada kenangan masa lalu yang indah,
secara tak sedar hati ini akan terpaut pada dunia. Rasa berat untuk
tinggalkan hidup di dunia. Rasa macam tak adilnya segala keindahan dan
kenikmatan ini akan berakhir juga. Tapi bila pandangan ditumpukan ke
hadapan, saya lebih terdorong untuk berfikir, esok saya di mana?
Masihkan di dunia? Masih punya suami dan anak? Masih sihat dan sempurna
pancaindera? Secara automatik hati akan menggerakkan jasad, melakukan
sebanyak-banyak dan sebaik-baik persiapa. Untuk menghadapi sesuatu yang
pasti dan sangat dekat. Mati. Yang kini telah pun dilalui oleh seorang
anak saya yang masih muda, kecil dan tak berdosa apa-apa. Subhanallah.
Terima kasih untuk setiap doa. Sekarang saya sudah mampu tersenyum
setiap kali terkenangkan Armand yang menjadi kunang-kunang syurga di
alam sana. Saya dah boleh tersenyum sambil berjenaka dengan suami setiap
kali mencium baju Armand, atau melihat apa-apa kepunyaan Armand.
Inilah entri yang saya janjikan, tentang apa yang terjadi pada Rabu 16
April yang lalu. Ada banyak part saya tak dapat cerita semuanya sebab
terlalu sukar. Nak sambung tulis pun jari terketar. Tapi disebabkan dah
berjanji dan mahu ditunaikan hasrat hati, saya abadikanlah juga sedikit
cebisan apa yang terjadi. Semoga Allah beri kekuatan untuk saya
sampaikan kisah ini dengan baik, dan semoga ada pengajaran atau kebaikan
yang boleh diambil untuk semua yang membaca.
**************************************************************
Awal pagi Rabu itu, kami bersiap ke kerja seperti biasa. Armand bangun
awal, sebaik saya bangun, Armand pun celik mata. Tapi Armand memang a
morning person, macam abahnya. Dia sangat ceria dan suka tersenyum di
awal-awal pagi, walaupun tak diagah. Semuanya macam biasa saja. Armand
tak ada berkelakuan pelik atau menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan
kami. Saya juga langsung tak ada gerak hati yang pelik dan tak senang
hati. Malah saya sebenarnya sangat happy pagi tu sambil bersiap. Cuma
kalau ada tak sedap hati pun, saya risaukan Aliff sebab Aliff demam
panas sejak malam sebelumnya. Malam itu selepas bawa Aliff jumpa doktor,
saya ada terdetik untuk ambil leave saja hari Rabu untuk tinggal di
rumah jaga Aliff dan Armand. Tapi pagi itu saya bangun tidur dan gerak
hati saya mengatakan tak apa. Pergi saja kerja. Kalau ada apa-apa, rumah
Hana dekat saja dengan office saya. Saya boleh pergi jenguk bila-bila
masa. Tambah pula demam Aliff sudah sedikit kebah pagi itu.
Selesai hantar Aliff dan Armand di rumah Hana, saya di office memulakan
hari seperti biasa. Peliknya, saya rasa cukup aktif dan ceria pagi tu.
Saya turun ke kafe dan belikan 3 bungkus kuih-muih. Satu untuk saya
breakfast, satu untuk suami, satu untuk Hana dan anak-anaknya petang
nanti. Pagi itu juga saya bersemangat sebab mendapat tugas baru untuk
dilaksanakan dari Manager saya. Pukul 11 pagi, saya turun ke bilik di
bawah untuk mengepam susu buat bekalan Armand hari esok. Saya bawa
handphone bersama. Selesai basuh pam dan simpan 3 botol berisi susu di
pantry office, saya kembali ke meja. Waktu itu pukul 11.39 pagi. Dan
waktu itu barulah saya baru terdetik untuk periksa handphone. Alangkah
terkejutnya saya bila nampak ada 4 missed call dan satu SMS dari Hana.
Ya Allah. Peliknya. Kenapa ni? Kebiasaannya Hana tak akan telefon.
Memang sejak 2 minggu lebih saya hantar anak-anak pada Hana, Hana tak
pernah sekalipun telefon saya di office. Kalau ada apa-apa kami akan SMS
saja. Tapi kali ini sampai 4 missed call. Demi Allah hati saya dah mula
berdebar. Saya cuma terbayangkan Aliff, sebab Aliff demam. Memang pagi
itu selepas hantar anak-anak, Allah beri detik hati pada saya untuk SMS
hana minta alertkan saya immediately kalau ada apa-apa. Saya akan datang
segera. Kebiasaannya saya tak pernah pesan begitu. Entah, pagi itu
memang macam ada rasa-rasa yang saya perlu tinggalkan office untuk ke
rumah Hana bila-bila masa. Hati saya memang risaukan Aliff pagi tu.
Rupanya gerak hati saya itu benar belaka. Saya periksa SMS dari Hana. Terasa bagai nak luruh jantung bila membaca;
"Marini. Tolong datang sekarang. Armand tak nafas ni. Tolong. Tolong. Saya kat klinik bawah ni. Tolong..."
Ya Allah!!
Dengan lajunya saya terus berlari keluar office dan telefon Hana. Tak
sempat berdering, Hana angkat dan saya hanya dengar Hana menangis
meraung memanggil-manggil nama saya dan minta tolong. Jantung saya
semakin berdebar kencang. Ya Allah... Terus gugur airmata saya. Saya
tanya kenapa dengan Armand, Hana cuma menangis dan kata tak tahu. Dan
Hana terus meraung memanggil-manggil nama saya. Ya Allah..
Saya berlari semula ke office dan minta tolong kawan sebelah meja,
Falita, untuk drive kan saya ke rumah Hana serta_merta. Allah sajalah
tahu macamana keadaan saya waktu tu. Terasa lemah lutut untuk berjalan.
Apatah lagi Hana masih menangis tak keruan di hujung telefon. Saya
berdoa semoga Armand tak apa-apa. Armand, tunggu ibu. Ibu datang sayang.
Tapi mendengar suara doktor yang mengambil-alih telefon Hana hanya
memusnahkan segala harapan saya.
"Puan, saya minta Puan tolong datang sekarang ya."
-"Doktor, kenapa dengan anak saya doktor?? Anak saya okey tak??"
Beberapa orang di office dah mula keluar dan melihat saya dalam keadaan
menangis, menjerit dan tak keruan.
"Puan, banyakkan bersabar. Puan datang dulu ya. Datang sekarang."
Jawapan doktor itu hanya menambah luluhnya hati saya waktu itu. Kenapa
doktor tak bagitahu keadaan Armand? Kalau Armand okey, kenapa doktor tak
tenangkan saya? Saya hanya mampu menangis. Di mata saya cuma
ternampak-nampak bayang Armand. Bayang wajah Armand yang selalu
tersenyum bila saya mencium. Bayang tenangnya Armand dalam tidur seperti
saat saya hantarnya pagi itu. Bayang wajah Armand yang tak sempat saya
cium pagi itu kerana terlalu risaukan Aliff.
Dalam perjalanan ke klinik di rumah Hana, hati saya dah terdetik sesuatu
yang tak baik terjadi pada Armand. Tapi saya terus berdoa mohon
keajaiban pada Allah. Mohon diselamatkan Armand yang masih kecil. Saya
belum puas melihat Armand membesar sihat depan mata. Mohon disempatkan
saya berjumpa Armand dan mencium wajah Armand. Tiba di klinik, sudah ada
2 orang perempuan menanti dengan wajah yang gelisah. Saya turun kereta
sambil menangis-nangis dan terus meluru ke pintu bilik doktor. Hampir
rebah saya di saat pintu dibuka.
Demi Allah, itulah saat yang paling meruntun hati seumur hidup saya. Di
sebalik pintu, saya sudah ternampak bayang tubuh anak saya. Dia
terbaring kaku, tak bergerak di atas tempat perbaringan.
Ya Allah. Hanya Allah saja yang tahu betapa hancur berkecai hati saya
waktu itu. Saya meluru pada Armand, menangis bercucuran airmata
memanggil-manggil nama Armand. Armand tolong bangun sayang, Armand
bangun Armand, ibu datang.. Itu saja yang saya ulang-ulangkan. Tapi
Armand memang dah tak beri apa-apa tindak-balas. Tubuhnya sejuk. Matanya
tak tertutup rapat, mulutnya sedikit ternganga. Bibir Armand juga
sedikit biru. Doktor dan pembantunya di sebelah dah tak berbuat apa-apa.
Saya tarik tangan doktor ke arah Armand, minta doktor selamatkan
Armand. Hati keibuan saya masih mengharap dan percaya pada keajaiban
dari Allah. Armand boleh diselamatkan lagi. Kenapa doktor dah berhenti
buat apa-apa. Tapi kata-kata dari doktor benar-benar menghancur-luluhkan
hati saya sekali lagi.
"Puan, banyakkan bersabar ya Puan. Kita dah buat semuanya. Anak Puan
memang dah berhenti jantungnya. Sekarang ni tolong bawa anak Puan ke
hospital."
Saya kembali mendapatkan Armand. Saya peluk dan cium seluruh wajah dan
tubuhnya. Basah baju Armand terkena airmata saya yang deras mengalir. Ya
Allah..... Armand..... Bangunlah Armand.... Armand.....
Hana yang juga teruk menangis mendapatkan saya sambil meminta maaf.
"Marini.. Saya minta maaf. Saya tak tahu apa-apa. Saya kejut nak
mandikan Armand tapi Armand dah takde. Armand tak sempat menyusu lagi
Marini.."
Ya Allah. Saya cium mulut Armand. Masih berbau masam susu yang selalu
menjadi kegemaran saya setiap kali menciumnya. Saya teringatkan kali
terakhir Armand menyusu adalah dengan saya, dalam kereta pagi itu.
Memang kebiasaannya saya akan susukan Armand direct dan banyak-banyak,
supaya pagi itu Armand cukup kenyang dan tak perlu banyak minum dari
botol. Armand dah mula menolak botol sejak usianya mencecah 3 bulan. Tak
pernah saya sangka, itulah kali terakhir saya susukan Armand. Itulah
kali terakhir Armand merasa susu dari badan saya. Dan itulah kali
terakhir kehangatan badan kami berdua bersatu dalam dakapan kasih sayang
ibu dan anak.
Maaf. Saya tak dapat sambung tulis secara detail setiap scene yang
terjadi dalam bilik doktor hari itu. Terlalu menyeksa hati. Sakit dan
pedih setiap kali mengenangkan. Terketar-ketar tangan menaip. Nafas juga
berombak kencang setiap kali teringatkan saat-saat pertama melihat anak
yang dikandung, dilahirkan dan disusukan penuh cinta pergi sekelip
mata.
Dalam perjalanan ke hospital Ampang, dalam kereta yang dipandu Falita,
saya hanya menangis sambil memangku Armand. Tak pernah terlintas sekali
pun di fikiran bahawa Allah akan pilih saya untuk melalui semua ini.
Memeluk dan memangku anak yang sudah tak bernafas ke hospital.
Berkali-kali hati bertanya, why me? Why me dear Allah? Tapi jujurnya,
waktu itu saya rasa Allah mula mencampakkan sedikit demi sedikit rasa
redha, bila melihat Armand yang langsung tak bertindak-balas walau saya
cium dan panggil berkali-kali. Selesai buat panggilan kecemasan kepada
suami di office dan emak di Penang, saya tatap wajah Armand dalam-dalam.
Saya sapu dan tutup matanya, saya cium bibirnya sambil bisikkan, "Ibu
redha sayang. Pergilah Armandku sayang."
Di hospital Ampang, saya diletakkan di dalam bilik menunggu bersama
Falita, sahabat seofis yang Allah telah takdirkan untuk melihat satu
persatu rentetan peristiwa yang berlaku. Saya terlentok tak bermaya di
atas kerusi roda, termenung sambil menangis. Kesian Falita terpaksa
berhadapan dengan situasi begini. Banyak yang Falita tuturkan untuk
tenangkan saya tapi saya masih tak boleh berhenti menangis. Agak lama
juga sebelum suami saya sampai di hospital. Tiba-tiba terdetik di hati
saya untuk melihat dinding bertentangan yang tergantung ayat Qur'an.
“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia menjadikan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di duga. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksana urusan yang dikehendakiNya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu (3).”
Ya Allah. Mengalir lagi airmata membaca ayat dari Allah yang terasa khas
untuk saya tengahari itu. Terasa seperti Allah sedang memujuk. Dalam
tak sedar terasa ada satu perasaan tenang mula menusup masuk ke dalam
hati. Berbekalkan kekuatan dari ayat tadi dan sedikit ilmu yang pernah
saya pelajari, saya kesat airmata dan pujuk diri. Ini qada' dan qadar
yang Allah telah tulis sejak sebelum aku dilahirkan ke bumi lagi. Tak
ada apa yang boleh halang ketentuan ini. Redhalah wahai hati. Armand dah
pulang kepada Allah.
Tak lama kemudian, suami saya muncul. Dia terus memeluk saya. Kuat,
lama, kami terdiam. Airmata saya laju kembali. Saya takkan lupakan saat
itu. Antara saat paling menghibakan dalam hidup saya sebagai isteri.
Suami duduk bertentangan dengan saya. Dia pegang kuat tangan saya,
sambil meminta saya memandang padanya.
"Nini, in sha Allah. Kita doa ya. Armand okey. In sha Allah Armand okey. Be strong sayang."
Saya tenung mata suami. Saya nampak matanya bersinar dengan harapan.
Bibirnya masih mampu mengukir senyuman. Tapi semua itu buatkan saya
makin sebak. Tak sampai hati untuk saya beritahu perkara sebenar,
walaupun tadi dalam telefon saya dah pun sebut padanya, Armand anak kita
tak bernafas. Mungkin suara saya tenggelam dalam tangisan. Dan kali
ini, sumpah saya tak sanggup untuk musnahkan harapan suami yang terlihat
di matanya. Saya hanya mampu berbisik dalam hati, "Abang, kalaulah
abang tahu, Armand dah tak ada.. Nini dah tengok dan pegang Armand
tadi..."
Selepas 10 minit, datang seorang perempuan. Bukan doktor, mungkin pembantu di situ.
"Encik, Puan, parents baby ke? Macamni ya. Kami dah cuba bantu anak
encik selama sejam. Tapi memang dah tak ada apa-apa. Sekarang ni doktor
dah arahkan untuk cabut alat bantuan pernafasan. Anak encik dan puan,
dah tak ada."
Ya Allah. Mendengar kata-kata doktor itu, hati saya sebak bercampur
redha. Tapi saya boleh bayangkan bagaimana hancurnya hati suami
mendengar kata-kata pembantu tadi. Entahlah, cara diberitahu berita itu
bagi kami sangat tak sesuai dan tak menenangkan. Suami saya
terketar-ketar menahan sebak. Matanya serentak berair. Dia tunduk
memandang ke lantai, dadanya berombak kuat. Kali ini giliran saya
menenangkan suami. Dengan suara yang terketar-ketar, suami bertanya
perlahan,
"Apa doktor?"
-"Anak encik dan puan, dah tak ada. Dah sejam kami cuba tapi tak
berjaya. Tapi encik, kalaulah berjaya sekalipun, peratusan untuk anak
encik survive sangat nipis. Dah sejam oksigen tak sampai ke otak, dan
otaknya memang dah mati. Sekarang ni kami terpaksa cabut semua alat
bantuan pernafasan. Faham ke?"
Akhirnya gugur juga airmata suamiku. Sungguh, saya bersyukur dan kagum
melihat ketabahan lelaki yang saya cintai di saat yang amat-amat menguji
begini. Masih mampu menjadi seorang yang menenangkan isteri di saat
anak baru meninggalkan dunia ke alam abadi. Sambil memegang kuat tangan
saya, dengan suara yang tersekat-sekat dan linangan airmata,
"Nini.. Kalau betul apa abang dengar tadi, anak kita, Armand, dah tak
ada dengan kita.. Allah dah ambil Armand semula. Kita redha ya sayang.
Kita pinjam je Armand selama ni. Kita redha Armand pergi. Ye sayang."
Sebelum proceed kepada post-mortem, kami dibenarkan melihat Armand. Ini
kali kedua kami melihat Armand, dan kali ini, saya dan suami
bersama-sama. Kami dekati tubuh Armand yang kaku. Tubuh comel dan montel
yang amat kami sayangi. Saya cium mulut dan wajah Armand berkali-kali.
Lama saya mencium Armand. Kerana saya sedar, inilah saat-saat terakhir
antara saya dan Armand di dunia. Suami membelai dan mengusap setiap inci
tubuh Armand. Saya usap kepala dan rambut Armand. Saya cium leher,
dada, lengan, tapak tangan, jari, perut, paha, betis dan tapak kaki
Armand. Masya Allah, sempurnanya tubuhmu wahai anak. Tak ada satu pun
yang saya tinggal. Saya mahu ingat saat terakhir ini selama-lamanya,
walaupun Armand sudah tak bernyawa. Dan akhir sekali, saya cium lama di
mulutnya sambil bisikkan, "Armand... baik-baik ye.. Pergilah sayang. Ibu
redha. Allah sangat sayangkan Armand. Armand milik Allah. Tapi Armand
selama-lamanya anak ibu. Jangan lupakan ibu ya Armand sayang."
Alhamdulillah, segala urusan selepas itu sangat dimudahkan oleh Allah. Hujan turun lebat petang itu, seakan-akan turut bersama hati ini menangisi perpisahan seorang ibu dengan buah hatinya yang tercinta. Selesai dimandi dan dikafankan di hospital, kami beransur pulang ke kampung halaman suami di Bentong untuk disempurnakan saat terakhir Armand di bumi Allah ini. Tak ada siapa pernah menyangka. Kali ini kami pulang dengan Armand terbaring kaku di dalam pelukan dan ribaan saya. Biarpun tak dapat menatap wajah Armand yang telah sempurna dikafankan, saya memeluk erat tubuh Armand sepertimana saya selalu menikmati saat-saat Armand menyusu dalam pelukan di atas ribaan saya selama 3 bulan ini.
Tiba di Bentong malam itu, hati sangat sebak melihat betapa ramainya yang hadir dan menanti Armand di surau. Anak-anak tahfiz yang masih suci tak berdosa juga ramai yang hadir. Sebelum disembahyangkan, kami sekali lagi diberi peluang untuk mencium Armand. Saya sempat bertanya pada suami, "lepas ini dah tak dapat cium ke?" Dan suami membalas, 'Lepas ini kita akan tutup muka Armand dah. Nini nak cium Armand?"
Mesti. Inilah saat yang terakhir sekali. Mana mungkin saya lepaskan. Sehiba mana pun, saya tetap takkan puas mahu mencium Armand. Kali ini kami bawa Aliff mendekati Armand. Kesian, Aliff belum berupaya memahami apa yang terjadi pada adik yang sangat disayanginya. Aliff cucuk dan cuit pipi Armand sambil berkata, "Aman, tito." Aliff pelik melihat hidung dan wajah Armand yang disapu dengan kapur barus. "Kotor", kata Aliff, sambil cuba menyapu hidung Armand yang disangkanya kotor. Saya sebak, tapi bersyukur, melihat Aliff dapat juga mencium adiknya Armand buat kali terakhir malam itu. Seharian di hospital dia tak dapat melihat Armand dan sibuk bermain dengan saudara-mara yang datang menziarahi.
Alhamdulillah, kucupan terakhir di wajah Armand, dapat saya sempurnakan dengan meninggalkan kenangan yang kuat di hati. Seperti biasa, saya ambil masa saya. Sambil pejamkan mata, saya bisikkan pada wajah Armand, dan menghayati dengan penuh makna,
"Armand, maafkan semua salah dan silap ibu. Tunggu ibu di syurga sayang. Jumpa lagi, anakku, Armand."
Alhamdulillah, segala urusan selepas itu sangat dimudahkan oleh Allah. Hujan turun lebat petang itu, seakan-akan turut bersama hati ini menangisi perpisahan seorang ibu dengan buah hatinya yang tercinta. Selesai dimandi dan dikafankan di hospital, kami beransur pulang ke kampung halaman suami di Bentong untuk disempurnakan saat terakhir Armand di bumi Allah ini. Tak ada siapa pernah menyangka. Kali ini kami pulang dengan Armand terbaring kaku di dalam pelukan dan ribaan saya. Biarpun tak dapat menatap wajah Armand yang telah sempurna dikafankan, saya memeluk erat tubuh Armand sepertimana saya selalu menikmati saat-saat Armand menyusu dalam pelukan di atas ribaan saya selama 3 bulan ini.
Tiba di Bentong malam itu, hati sangat sebak melihat betapa ramainya yang hadir dan menanti Armand di surau. Anak-anak tahfiz yang masih suci tak berdosa juga ramai yang hadir. Sebelum disembahyangkan, kami sekali lagi diberi peluang untuk mencium Armand. Saya sempat bertanya pada suami, "lepas ini dah tak dapat cium ke?" Dan suami membalas, 'Lepas ini kita akan tutup muka Armand dah. Nini nak cium Armand?"
Mesti. Inilah saat yang terakhir sekali. Mana mungkin saya lepaskan. Sehiba mana pun, saya tetap takkan puas mahu mencium Armand. Kali ini kami bawa Aliff mendekati Armand. Kesian, Aliff belum berupaya memahami apa yang terjadi pada adik yang sangat disayanginya. Aliff cucuk dan cuit pipi Armand sambil berkata, "Aman, tito." Aliff pelik melihat hidung dan wajah Armand yang disapu dengan kapur barus. "Kotor", kata Aliff, sambil cuba menyapu hidung Armand yang disangkanya kotor. Saya sebak, tapi bersyukur, melihat Aliff dapat juga mencium adiknya Armand buat kali terakhir malam itu. Seharian di hospital dia tak dapat melihat Armand dan sibuk bermain dengan saudara-mara yang datang menziarahi.
Alhamdulillah, kucupan terakhir di wajah Armand, dapat saya sempurnakan dengan meninggalkan kenangan yang kuat di hati. Seperti biasa, saya ambil masa saya. Sambil pejamkan mata, saya bisikkan pada wajah Armand, dan menghayati dengan penuh makna,
"Armand, maafkan semua salah dan silap ibu. Tunggu ibu di syurga sayang. Jumpa lagi, anakku, Armand."
Satu-satunya gambar yang ada malam itu.
Melihat suami meletakkan Armand di liang lahadnya.
Ya Allah, insafnya hati melihat Armand telah melalui semua ini mendahului kami.
******************************************************************
Itulah saja secebis yang boleh saya kongsikan. Kalau mahu diceritakan
semua mungkin terlalu panjang. Biarlah saya dan suami saja mengenangnya
sebagai satu peristiwa yang tak mungkin terpadam dari memori hidup yang
singkat ini.
Hasil dari post-mortem, anak kami Mas Armand Saiff disahkan meninggal
kerana tersedak susu. Doktor masukkan tiub ke dalam peparunya dan memang
keluar susu. Cuma bagaimana boleh terjadi begitu hanya Allah yang tahu.
Kadang-kadang fikiran saya tak tenang memikirkan macamana susu boleh
masuk ke dalam paru-parunya. Sedangkan kali terakhir Armand menyusu
adalah dengan saya, terus dari badan saya sendiri. Beberapa hari sebelum
Armand pergi, setiap pagi Hana SMS saya mengatakan Armand tak mahu
menyusu dengannya pagi-pagi. Armand hanya akan tidur lena sampai ke
pukul 12, kemudian Armand akan minum sampai 2 botol.
Kalau dilihat dari fizikal Armand sewaktu dia ditemui kaku, memang tak
ada tanda-tanda seperti tersedak susu. Mukanya tak biru seperti
kelemasan. Di mulut Armand juga tak ada susu. Cuma ada sikit lelehan air
liur dan hingus. Hana cerita, memang Armand nampak seperti sedang lena
tidur. Kebiasaannya pun memang Armand tidur lena waktu pagi. Mulanya
saya syak carseat sebagai punca. Sebab Armand memang suka tidur dalam
carseat. Pagi itu pun masa kami tinggalkan dia di rumah Hana, Armand
tengah nyenyak tidur dalam carseat. Di merata-rata negara dah banyak kes
kematian bayi sebab tertidur dalam carseat, yang sebenarnya sangat
bahaya sebab laluan pernafasan baby boleh terhalang kerana posisi
tidurnya dalam keadaan duduk. Tapi rupanya pagi itu Hana dah pun alihkan
Armand dari carseat, dan baringkan dia flat, tak ada bantal atau
benda-benda lembut yang boleh melemaskan Armand. Sebab itu jauh di sudut
hati saya dan suami, kami rasa Armand pergi dalam keadaan sudden death.
Walau sejauh manapun saya fikir, akhirnya saya perlu akur bahawa apa
yang menimpa anak kami adalah satu ketentuan dan kekuasaan Allah yang
tiada siapa pun berkuasa menghalang. Tersedak susu atau sudden death,
itu hanyalah penyebab untuk dijelaskan dengan logik akal manusia. Yang
sebenar-benarnya, memang sudah sampai tempoh tamat pinjaman kami.
Memang, tak ada siapa pernah menyangka Armand akan pergi secepat ini.
Belum sempat untuk saya lihat dia meniarap. Belum sempat untuk saya
curahkan sepenuh kasih-sayang dan cinta buat Armand. Tapi takdir Allah
mendahului segala harapan dan impian saya. Walau amat berat untuk saya
telan, harus untuk saya akur dan yakini, bahawa sesungguhnya inilah yang
terbaik untuk kami. Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan kami langsung
tidak tahu rencana hidup ini.
Di kesempatan ini, saya mahu ucapkan terima kasih kepada setiap jiwa
yang turut berkongsi rasa dan tak jemu mengirimkan ucapan doa buat kami
sekeluarga. Terharu saya lihat betapa banyaknya komen pembaca di entri
sebelum ini, rata-ratanya menyumbangkan doa dan berkongsi cerita. Jujur
cakap, suami saya turut merasa tempias semangat dan kekuatan yang kalian
kirimkan. Terima kasih kepada adik beradik, semua saudara-mara serta
kenalan yang datang ke hospital, ke pengebumian dan ke tahlil Armand.
Yang sudi datang berziarah di rumah sewa kami, terima kasih
banyak-banyak. Sesunnguhnya kehadiran tetamu di rumah kami sangat-sangat
membantu menceriakan suasana dan mengusir kesedihan di hati.
Dan terutama sekali, kami amat berterima kasih kepada kedua ibu-bapa
kami yang mengambil alih semua urusan untuk disempurnakan kepulangan
Armand ke sana. Semoga Allah merahmati Mak, Bapak, Mama dan Baba untuk
segala bantuan dan sokongan moral dan material. Terima kasih Allah
kerana menghadirkan kalian semua yang sangat berharga di dalam hidup
kami. Semoga Allah membalas setiap jasa dengan syurga.
Dan akhirnya, personally, saya rasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada suami sendiri, Mas Aidiff, yang membantu memandikan, mengkafankan dan meletakkan sendiri tubuh anak syurga kami, Armand, di dalam liang lahadnya untuk dipulangkan kepada Allah yang Maha Memiliki segalanya.
Dan akhirnya, personally, saya rasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada suami sendiri, Mas Aidiff, yang membantu memandikan, mengkafankan dan meletakkan sendiri tubuh anak syurga kami, Armand, di dalam liang lahadnya untuk dipulangkan kepada Allah yang Maha Memiliki segalanya.
Saat-saat ceria pada 13 April 2014, cuma 3 hari sebelum suasana hati bertukar pilu.
Sempena ulangtahun kelahiran ke 30 tahun untuk suami, dan ke 3 bulan untuk Armand.
Armand anak syurga ibu,
Akan ibu terus meminta pada Allah tanpa jemu,
Untuk memilikimu selama-lamanya di akhirat nanti,
Kekallah Armand dalam pelukan ibu, dan takkan terlepas lagi.
Innalillahi wa'inna ilaihi raaji'un.
Sesungguhnya kami semua milik Allah, dan kepada Engkaulah kami akan dikembalikan.
Dan sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik tempat kembali.
: Nini Marini : Semoga akak dan suami tabah menghadapi . Dan si kunang kunang kecil menanti di bawah lindungan allah swt didalam syuga terindah .
1 comment:
Allahu..
Innalillahi wa'inna ilaihi raaji'un. Be strong sis.. Sungguh ku terharu dan kagum dgn kekuatan padamu. Sambil menghabiskan bacaan di entry ni, mmg air mata xbrnti. ssguhnya Allah Maha Tahu & Maha Penyayang. Setiap yg berlaku pasti ada hikmahNya. Moga Allah redha dgn khidupan kt & disatukan di Jannah kelak.. amiin.. Allah ada bersamamu, kak..
Post a Comment